Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenaraikan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) akan boleh beli rumah pertama.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, inisiatif tersebut bagi melayakkan golongan muda memiliki rumah sendiri dan ia membabitkan pembelian semua jenis perumahan dan bukannya di bawah kementeriannya sahaja.
Menurutnya, inisiatif ini akan dilancarkan bersama skim lain untuk perumahan belia pada 18 Oktober depan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan.
“Hanya untuk membeli rumah sahaja mereka akan dikeluarkan daripada senarai CCRIS,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang media mengenai persidangan hartanah Hi HOME, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman serta Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hartanahbumi dotCom Sdn. Bhd., Radzi Tajuddin.
Dalam pada itu, Zuraida berkata, 30 peratus daripada 10,000 unit rumah mampu milik yang akan dibangunkan di Bandar Malaysia akan diperuntukan kepada golongan belia.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Syed Saddiq berkata ia antara inisiatif kerajaan dalam membantu golongan muda untuk memiliki rumah di kawasan strategik.
“Ia penting kerana di Bandar Malaysia yang merupakan salah satu projek yang begitu strategik akan ada 3,000 unit khas khusus bagi anak muda,” katanya. – Bernama
kredit kepada kosmo online